close button

close button

Soal Jawab - Akidah, Tauhid, Fekah: Keimanan #3

http://speakerpecah.blogspot.com


Soalan-soalan:

  1. Setiap Anak Dilahirkan Suci
  2. Bukti Ke-Islaman Rasul Terdahulu
  3. Matlamat Terpenting Ajaran Islam
  4. Syahid Dunia dan Syahid Akhirat
  5. Masalah Murtad dan Penyelesaiannya
  6. Adam Manusia Pertama di Bumi?
  7. Petanda Ganjil ketika Pengebumian Mayat
  8. Pengertian 'Al-Quran Imamku, Baitullah Kiblatku'
  9. Beriman setelah Murtad
  10. Akidah Dalam Kehidupan Insan
sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
21. Setiap Anak Dilahirkan Suci

Soalan:
Apakah yang dimaksudkan dalam Hadis "Setiap anak dilahirkan suci bersih...."?

David, Kajang

Jawapan:
Maksud hadis setiap anak dilahirkan suci bersih ialah ia dilahirkan dalam keadaan fitrah semula jadinya bersih dan belum ternoda oleh mana-mana unsur dosa. Dengan lain perkataan fitrah semulajadi seorang bayi adalah Islam. Fitrah ini akan berubah mengikut pengaruh ibu-bapa dan persekitaran. Jika ibu bapanya ingin membawa kepada jalan kesesatan maka kesucian atau fitrah keIslamannya telah ternoda oleh ibu bapanya tersebut.

Manusia pada fitrahnya hanif, yang mengandungi erti rindu terhadap mengingat Allah SWT. Manusia pada kejadiannya yang azali rindu kepada kesucian, kemuliaan dan keagungan serta cenderung kepada kebaikan, keindahan, kebenaran dan keadilan.

"Setiap anak dilahirkan suci bersih..", ertinya setiap anak dilahirkan dengan bekal fitrah Islamiyah. Itulah sebabnya agama Islam disebut juga dengan agama fitrah kerana agama Islam itu sesuai dengan fitrah atau asal kejadian manusia. Dalam Al Quran, Allah SWT berfirman maksudnya: "Maka hadapkanlah wajahmu dengan hanif atau lurus kepada agama ciptaan Allah, yang telah menciptakan manusia menurut fitrahnya itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. Itulah agama yang lurus, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui".

sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
(Surah Ar Ruum ayat 30)

Datangnya agama Islam adalah membenarkan apa yang menjadi kehendak fitrah yang suci dan selamat. Akal dan hati manusia dapat menilai sendiri tentang wujudnya Allah yang Maha Pencipta. Begitu juga di dalam Al Quran banyak disebut tentang Allah SWT.

Kadang kala manusia beranggapan bahawa kalau tauhid (meng-Esakan Allah) itu merupakan suatu fitah atau semulajadi, maka manusia tentu tidak berbeda aqidah dan kepercayaannya dan tidak berbeda pula Tuhan mereka. Tetapi kenyataannya mengapa manusia mempunyai pendapat yang berbeza dan beraneka ragam sehingga tidak ada kesamaan dalam menentukan Tuhan mereka.

Tentang masalah ini dapat dijelaskan bahawa timbulnya sangkaan seperti itu adalah kerana watak manusia itu cenderung berpegang dengan sesuatu yang ditangkap oleh indera mereka. Kemudian mengingkari perkara-perkara yang tidak ada gambaran dalam hatinya serta tidak ada batasan yang membatasinya. Contoh kisah ini sebagaimana difirmankan Allah dalam Al Quran: "Ahli Kitab meminta kepadamu agar kamu menurunkan kepada mereka sebuah kitab dari langit. Maka sesungguhnya mereka telah meminta kepada Musa yang lebih besar daripada itu. Mereka berkata: "Tunjukkanlah Allah kepada kami dengan nyata". Maka mereka disambar petir kerana kezalimannya dan mereka menyembah anak sapi, sesudah datang kepada mereka bukti-bukti yang nyata, lalu Kami (Allah) maafkan mereka dari yang demikian. Dan telah Kami berikan kepada Musa keterangan yang nyata".

(Surah An Nisa' ayat 153)


Adanya akal fikiran itu tidak mampu menemukan kebenaran, mengetahui secara menyeluruh. Maka sungguh mengharirankan bila orang yang berakal sihat menggunakan perkara itu sebagai dalil meniadakan sesuatu. Umat terdahulu banyak dicontohkan Allah sebagai umat yang sesat dari jalan yang lurus, mereka memiliki hati yang keras dan banyak melanggar perintah Allah SWT.

Ajaran yang dibawa agama Islam adalah tentang iman kepada Allah dan meng-EsakanNya serta menghindarkan diri daripada menyekutukan-Nya. Semua itu merupakan suatu jalan yang sesuai dengan fitrah manusia yang ingin kepada kebenaran. Dan kebenaran yang haq itu hanya dari Allah SWT.

sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
22. Bukti Ke-Islaman Rasul Terdahulu

Soalan:
Nyatakan bukti-bukti yang menunjukkan agama rasul terdahulu juga adalah Islam?

David, Kajang

Jawapan:
Al-Quran menjelaskan agama rasul-rasul terdahulu adalah Islam. Islam bermaksud tunduk dan patuh kepada perintah Allah SWT. Setiap rasul menyeru masyarakatnya ke arah mengabdikan diri kepada Allah SWT semata-mata dan mematuhi syariatNya yang diutuskan kepada setiap rasul ini.

Setiap rasul berpegang dengan syariat yang diutuskan oleh Allah kepadanya yang sesuai dengan masa dan masyarakatnya. Begitulah juga nabi Muhammad SAW diutuskan oleh Allah bagi menegakkan aqidah nabi-nabi terdahulu dan melaksanakan syariat yang diutuskan kepada baginda untuk seluruh umat manusia sehingga berlakunya hari kiamat.

Ini bermakna syariat Muhammad SAW adalah penyudah atau pelengkap dalam menyempurnakan segala syariat nabi-nabi terdahulu dan sesuai dengan suasana manusia yang hidup di akhir zaman hinggalah ke hari Kiamat (D'day). Berdasarkan keterangan ini jelas menunjukan agama para rasul terdahulu adalah islam kerana mereka menyeru manusia ke arah ketundukkan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT, sebagaimana juga nabi Muhammad SAW diperintahkan menyeru manusia ke arah ketundukan dan kepatuhan kepada segala yang diperintahkan oleh Allah SWT.

Pada prinsipnya semua Rasul memeluk dan mengajar agama tauhid atau Islam. Sebagai contoh:

Nabi Adam yang diperkirakan hidup lebih kurang 930 tahun merupakan manusia pertama yang bergelah khalifah Allah dimuliakan dan ditinggikan darjatnya menjadi nabi yang pertama. Baginda diutuskan kepada anak cucunya agar menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Maka diantara mereka ada yang taat dan adapula yang membangkang.

Nabi Idris as. merupakan keturunan Nabi Sits as. diutus oleh Allah kepada anak cucu Qabil agar bertaubat dan menyembah Allah SWT, namun mereka terus menerus membangkang perintah Allah SWT. Begitu juga Nabi Nuh as. merupakan keturunan nabi Idris as. yang diutus Allah kepada kaum kafir. Baginda menyeru supaya semua manusia menyembah Allah, tetapi ajakan Nabi Nuh ditolak, akhirnya orang-orang yang ingkar atau kafir itu tenggelam dalam banjir yang besar.

Nabi Hud as. adalah keturunan Yafit bin Nuh, bertempat tinggal di Hadharal Maut Utara. Baginda diutus Allah kepada kaum Aad kerana bangsa itu menyembah patung. Kemudian Nabi Nuh menyuruh mereka supaya menyembah Allah, tetapi mereka ingkar, akhirnya mereka menerima seksaan dengan ditimpa badai dan udara yang sangat dingin selama tujuh hari lapan malam. Begitu juga Nabi Salleh merupakan keturunan Sam bin Nuh yang diutuskan Allah kepada bangsa Tsamud disebelah selatan Palastin. Kebudayaan mereka sudah tinggi tetapi mereka menyembah dewa dan patung, kemudian Nabi Salleh menyuruh kepada mereka agar menyembah Allah, sebahagia besar bangsa Tsamud menolak untuk memeluk agama Allah. Mereka ingkar kepada larangan Nabi Salleh. Pada hari pertama muka mereka berwajah kuning, hari kedua menjadi merah,hari ketiga menjadi hitam, akhirnya mereka disambar petir.
sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
Nabi Ibrahim as. juga keturunan Sam bin Nuh yang diutuskan Allah kepada kaum Namrud di negeri Babilon lebih kurang 4000 tahun sebelum Masehi. Kaum Namrud menyembah berhala bahkan akhirnya Namrud menganggap dirinya sebagai Tuhan. Nabi Ibrahim juga menyerukan ajaran tauhid atau Islam kepada mereka namun mereka tetap ingkar, akhirnya Allah mendatangkan kepada mereka tentera nyamuk sebagai balasan, maka musnahlah kaum yang ingkar. Begitu halnya dengan Nabi Luth as. adalah bersaudara dengan nabi Ibrahim yang diutuskan kepada kaumnya di negeri Sadum, supaya kaumnya menyembah Allah SWT, namun mereka ingkar. Allah SWT membalas keingkaran mereka dengan dibalik bumi Sadum sehingga musnah negeri tersebut.

Nabi Ismail as. adalah anak Nabi Ibrahim melalui perkahwinannya dengan Siti Hajar. Baginda diutus kepada bangsa Arab di negeri Yaman, kerana mereka belum kenal dengan agama tauhid atau Islam. Mereka juga diperintahkan supaya berpuasa, membayar zakat dan menunaikan haji. Baginda mempunyai 12 orang anak lelaki yang seluruhnya disebut dengan Bani Ismail atau Adnanniyun. Dari keturunan inilah lahirnya suku Quraisy yang melahirkan Nabi Muhammad SAW.

Nabi Ishaq as. adalah anak kandung Nabi Ibrahim melalui perkahwinan dengan Siti Sarah. Baginda diutus oleh Allah di negeri Kan'an untuk menyembah Allah, mengajarkan tauhid, menyuruh membayar zakat, berpuasa dan menunaikan haji. Nabi Ishaq berkahwin dengan Rifka dan mendapat anak kembar iaitu ish dan Ya'kub. Nabi Ishaq wafat dalam usia 170 tahun dan dimakamkan di Baitul Maqdis daerah Palastin. Begitu juga dengan Nabi Ya'kub as. diutus oleh Allah SWT di negeri Kan'an kerana penduduknya telah ramai menyembah berhala. Nabi Ya'kub mengajar kaumnya supaya menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Baginda wafat dalam usia 148 tahun dan beliau mempunyai 12 orang anak lelaki.

Nabi Yusuf as. anak Nabi Ya'kub as yang diutus oleh sebagai nabi kepada bangsa Mesir untuk mengajarkan agama tauhid iaitu agar menyembah Allah, Tuhan yang Maha Esa. Disampaing baginda seorang nabi ia juga seorang raja dengan dasar pemerintahannya adalah Islam. Beliau wafat dalam usia 120 tahun dan dimakamkan ditepi sungai Nil. Kemudian Nabi Ayub as. anak Amus bin Tarikh bin Rum bin Ish yang diutuskan oleh Allah SWT ke negeri Rom untuk mengajarkan agama tauhid iaitu menyembah Allah SWT. Beliau wafat dalam usia lebih kurang 93 tahun dan dimakamkan di suatu tempat di daerah Itali.
sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
Nabi Zulkifli as. adalah anak Nabi Ayub as. diutus oleh Allah SWT ke negeri Rom. Disamping beliau seorang nabi juga seorang raja yang tetap mengajarkan agama tauhid iaitu supaya menyembah Allah, Tuhan Yang Maha Esa. Beliau menyeru kepada kaumnya supaya meninggalkan penyembahan berhala dan melaksanakan syariat Islam supaya solat dan membayar zakat. Beliau wafat dalam usia 95 tahun dan dimakamkan di Napoli, daerah Rom Selatan. Begitu juga Nabi Syuib as. keturunan Nabi Luth as, diutus oleh Allah ke negeri Madyan, Palastin Selatan agar mengajar agama tauhid iaitu menyembah Allah SWT. membayar zakat dan berlaku jujur kepada kaumnya.Ramai kaumnya yang tidak beriman, akhirnya ditimpa bencana daripada Allah berupa gempa dan kepingan awan panas daripada langit.

Nabi Musa as dan Nabi Harun as. diutus oleh Allah SWT kepada kaumnya Bani Israil supaya menyembah Allah, membayar zakat, berpuasa dan berlaku jujur. Bani Israil ramai yang ingkar sehingga mereka menyembah patung anak sapi yang dipelopori oleh Samiri. Nabi Musa as. mendapat kitab Taurat daripada Allah SWT dan diberi mukjizat. Kemudian Nabi Daud as.dibekalkan oleh Allah dengan kitab Zabur mengajarkan kepada kaumnya agar menyembah Allah dan mengerjakan ibadah puasa. Nabi Daud as. wafat dalam usia lebih kurang 100 tahun, lalu dimakamkan di Palastin.

Nabi Sulaiman as. adalah anak Nabi Daud as. beliau seorang nabi dan raja. Nabi Sulaiman berdoa kepada Allah SWT agar diberikan kepadanya kerajaan yang tidak akan diperolehi seorangpun sesudahnya. Doa beliau dikabulkan Allah, sehingga beliau dapat menguasai semua makhluk termasuk jin dan binatang. Nabi Sulaiman mengajak semua kaumnya agar menyembah Allah dan menghindari daparipada mensyirikkannya. Kemudian Nabi Ilyas as. merupakan keturunan Nabi Harun diutus Allah sebagari rasul di negeri Balbik di Lebanon Selatan kerana orang Balbik ramai yang telah menyembah berhala. Patung terbesar sembahan mereka bernama "Ba'al" dibuat dari emas. Nabi Ilyas as. mengajak kaumnya agar menyembah Allah SWT iaitu agama tauhid, namun ramai yang ingkar, sehingga kebanyakan mereka ditimpa musibah gempa yang dahsyat. Nabi Ilyas wafat dan dimakamkan di daerah Lebanon Selatan.

Nabi Ilyasa' as. diutus Allah SWT kepada Bani Israil, agar mengajarkan agama tauhid berdasarkan kitab Taurat dan kitab Zabur. Kerana kederhakaan dan pembangkangan mereka terhadap Allah dan Rasul-Nya akhirnya orang-orang yahudi dijajah oleh raja dari Babil bernama Nebukad Nezar. Kemudian Nebekud Nezar dikalahkan oleh Cyrus raja dari Persia. Pada tahun 70 Sebelum Masehi raja Rom bernama Titus memasuki Palastin dan merosak seluruh kota Jerusalam, kecuali Baitul Maqdis. Begitulah bangsa Yahudi mendapat kutukan dan laknat daripada Allah dan Rasul-Nya sehingga bertebaranlah mereka ke seluruh pelosok, dikutuk dan dihina oleh bangsa-bangsa lain di dunia.
sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
Nabi Yunus as. keturunan Nabi ya'kub as. diutus oleh Allah kepada bangsa Ninawa didaerah Mansul dalam kerajaan Babil. Beliau mengajak kaumnya agar menyembah Allah , namun ajakan beliau ditentang bahkan diejek. Akhirnya Nabi Yunus meninggalkan kaumnya dan berdoa kepada Allah agar diturunkan azab kepada mereka. Ketika tanda-tanda azab akan turun, maka seluruh penduduk mencari nabi Yunus kerana ingin bertaubat, namun nabi Yunus telah meneruskan pelayarannya. Mereka semuanya beriman kepada Allah serta menyesal kerana melawan Rasul Allah. Nabi Yunus diuji Allah ketika berada didalam perut ikan Nun. Setelah kembali ke Ninawa dilihatnya mereka semua telah beriman, maka nabi Yunus meneruskan dakwahnya, sehingga negeri tersebut menjadi aman dan makmur. Nabi Zakaria as dan Nabi Yahya as. diutus kepada bangsa Yahudi, agar mereka menyembah Allah SWT, berlaku jujur, adil dengan memegang petunjuk yang ada dalam kitab Allah. Kemudian nabi Yahya dibunuh, kepala baginda dipenggal. Begitu juga dengan Nabi Zakaria dibunuh ketika itu juga. Kedua nabi tersebut telah mati syahid. Begitu sombong bangsa Yahudi sehingga hati mereka menjadi tertutup dalam menerima kebenaran. Hanya seksa Allah yang sesuai bagi mereka yang ingkar.

Nabi Isa as. adalah insan yang lahir dari tubuh Maryam tanpa ayah, kemudian diangkat martabatnya menjadi nabi dan Rasul. Sedangkan Hawa dilahirkan dari tubuh Adam tanpa ibu di dalam syuga. Kemudian ditakdirkan oleh Allah SWT menjadi ibu dari seluruh umat manusia. Maka agar tidak keliru dalam beriman atau beriktikad, kita lihat firman Allah SWT maksudnya: "Sesungguhnya perbandingan kejadian Nabi Isa di sisi Allah adalah sama seperti kejadian Nabi Adam, Allah telah menciptakan Adam dari tanah, lalu berfirman kepadanya: 'Jadilah engkau! maka menjadilah ia' ".

(Surah Ali Imran ayat 59)

Nabi Isa as. diutus oleh Allah kepada kaumnya sendiri iaitu Bani Israil di daerah Palastin agar tetap taat kepada Allah SWT. Belaiu diberi kitab Injil yang melengkapi kitab Taurat dan Zabur. Segala firman Allah yang diwahyukan kepada beliau ditulis oleh pengikut-pengikutnya dengan tulisan Ibrani (Hebrew bahasa Ibrani Yahudi).

Dapatkah kita menemukan kembali kitab Injil peninggalan Nabi Isa as. itu? Untuk meyakinkan diri kita mari kita perhatikan ayat-ayat Allah dibawah ini:

Firman Allah SWT maksudnya: "Ia menjawab: "Sesungguhnya aku ini hamba Allah; Ia telah memberikan kepadaku Kitab Injil dan ia telah menjadikan daku seorang Nabi".

(Surah Maryam ayat 30)

Firman Allah SWT maksudnya: "Dan sesungguhnya Allah ialah Tuhanku dan Tuhan kamu, maka sembahlah kamu akan Dia, inilah jalan yang betul atau lurus".

(Surah Maryam ayat 36)
sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
Ayat-ayat diatas membuktikan dengan jelas bahawa Nabi Isa as. hanyalah seorang nabi dan Rasul bukanlah sebagai anak Tuhan seperti yang didakwakan sesetengah pengikutnya. Kitab Injil yang asal dengan tegas dan jelas menyuruh para pengikutnya agar menyembah Allah semata tidak menyekutukannya dengan yang lain. Namun kebanyakan pengikut nabi Isa telah merubah Kitab Injil yang asli itu menurut selera mereka sendiri, maka lahirlah beratus-ratus kitab Injil bahkan beribu-ribu jumlahnya.

Kerana terlalu keras tentangan kaumnya terhadap ajaran tauhid, bahkan beliau diancam akan dibunuh, maka nabi isa dibawa hijrah oleh bondanya ke negeri Mesir selama 12 tahun. Kemudian berpindah lagi ke negeri Nazaret daerah Palastin. Di negeri ini beliau mulai ada pengikut yang membenarkan ajarannya iaitu Mengesakan Allah SWT.

Di antara orang-orang Yahudi tersiar berita nabi Isa yang mempunyai ibu tanpa bapa itu sudah ditangkap oleh Yudas Iskariot, lalu diserahkan kepada penguasa Romawi, kemudian disalib di bukit Golgota. Ada pula yang berkata bukan Isa yang ditangkap tetapi Yudas kerana dia berkhianat. Sebahagian orang meyakinkan diri berkata bahawa bukan Nabi Isa, bukan Yudas tetapi orang lain yang serupa dengan benar dengan beliau. Nabi Isa sendiri selamat dari bencana malapetaka dunia. Sesungguhnya Allah telah mengangkatnya ke atas langit.

Memang banyak sekali pendapat manusia bahkan antara satu dengan yang lainnya bertentangan. Maka sebaiknya beriman sesuai dengan ketentuan didalam Al Quran. Firman Allah maksudnya: "Demi sesungguhnya, telah kafirlah orang-orang yang berkata; bahawasanya Allah ialah Al Masih Ibni Maryam. Padahal Al Masih sendiri berkata: "Wahai Bani Israil, sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhan kamu, bahawasanya sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain, maka sesungguhnya Allah haramkan kepadanya syurga dan tempat kembalinya ialah neraka; dan tiadalah seorang penolong pun bagi orang-orang yang berlaku zalim.

Demi sesungguhnya telah kafirlah orang-orang yang berkata: Bahawasanya Allah ialah salah satu dari tiga tuhan. Padahal tiada Tuhan yang berhak disembah melainkan Tuhan Yang Maha Esa. Dan jika tidak berhenti dari apa yang mereka katakan itu, sudah tentu orang-orang yang kafir dari antara mereka akan dikenakan azab seksa yang tidak terperi sakitnya".

(Surah Al Maidah ayat 72-73)

Nabi Muhammad SAW dilahirkan pada tahun 571 Masehi melalui perkahwinan Aminah dengan Abdullah bin Abdul Muthalib bin Hasyim. Baginda adalah keturunan Nabi Ismail as. bin Nabi Ibrahim as. Nabi Muhammad SAW adalah insan termulia melebihi tingkat dan darjat dari seluruh nabi-nabi dan umat manusia, bahkan seluruh makhluk-makhluk Allah SWT. Sebab itu Rasulullah (Nabi Muhammad SAW) bergelar "Rahmatan Lil Alamin". ertinya "Rahmat bagi seluruh alam".
sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
Rasulullah diberi kitab Al Quran, diutus oleh Allah untuk seluruh bangsa di dunia ini. Seperti nabi-nabi atau rasul-rasul Allah terdahulu bagindapun mengajar dan menyeru manusia supaya menyembah Allah. Nabi Muhammad SAW adalah penutup dari sekalian nabi dan rasul, jadi agama Allah yang diwahyukan semenjak nabi Adam secara bertahap-tahap lagi teratur dilengkapi dan disempurnakan Allah pada kenabian Muhammad SAW. Sebab itu tidak akan ada lagi nabi dan wahyu sesudah baginda.

Bahkan dalam kitab-kitab yang sebelumnya menyatakan tentang kelahiran Nabi Muhammad SAW sebagai rasul yang terakhir. Dalam hal ini Nabi Isa as. sendiri menjelaskan kepada kaumnya tentang akan munculnya seorang nabi terakhir sesudahnya. Di dalam Al Quran dijelaskan ungkapan Nabi Isa as tersebut sebagai berikut. Firman Allah SWT maksudnya: "Dan (ingatlah juga peristiwa) ketika nabi Isa Ibni Maryam berkata: Wahai Bani Israil sesungguhnya aku ini pesuruh Allah kepada kamu, mengesahkan kebenaran Kitab yang diturunkan sebelumku, iaitu Kitab taurat dan memberikan berita gembira dengan kedatangan seorang Rasul yang akan datang kemudian daripadaku bernama Ahmad. Maka tatkala ia datang kepada mereka membawa keterangan-keterangan yang jelas nyata, mereka berkata: ini ialah sihir yang jelas nyata".

(Surah As Saaf ayat 6)


Firman Allah SWT lagi maksudnya: "Bukanlah Nabi Muhammad itu (dengan sebab ada anak angkatnya) menjadi bapa yang sebenar bagi seseorang dari orang lelaki kamu, tetapi ia adalah Rasul Allah dan kesudahan segala Nabi-nabi. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu".

(Surah Al Ahzab ayat, 40)


23. Matlamat Terpenting Ajaran Islam

Soalan:
Apakah matlamat terpenting dari ajaran Islam?

David, Kajang
sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
Jawapan:
Matlamat terpenting ajaran Islam ialah untuk mencapai keredaan Allah SWT dengan melakukan amalan yang telah diperintahkan oleh Allah semasa hidup di dunia ini. Seseorang tidak akan mencapai keredaan Allah jika ia tidak mengikut apa yang disyariatkan oleh Allah SWT. Keredaan Allah akan membuatkan seseorang itu mencapai kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Tidak akan masuk syurga Allah SWT seseorang itu melainkan dengan limpahan rahmat (keredhaan) dan hidayah (petunjuk) Allah ke atas dirinya

Keredhaan Allah itu bergantung ketaatan manusia kepada perintah Allah SWT. Jika manusia melaksanakan perintah dan ajaran-Nya yang terkandung di dalam kitab suci Al Quran, maka rahmat dan redha Allah itu akan memancar dalam kehidupan seseorang. Ketaatan yang dilaksanakan termasuk dalam segala aspek kehidupan seperti berkeyakinan atau beraqidah yang benar, berakhlak dengan akhlak yang benar, melaksanakan prinsip-prinsip ajaran Islam seperti solat, puasa, zakat, haji dan sebagainya.

Jika keredhaan Allah menyelimuti kehidupan kita maka barulah kita dapat menikmati kebahagiaan hidup baik di dunia mahupun di akhirat.


24. Syahid Dunia dan Syahid Akhirat

Soalan:
Apakah beza syahid dunia dan syahid akhirat?

Zaity, Bangi

Jawapan:
Orang yang mati syahid sebenarnya ada 3 golongan iaitu syahid pada hukum dunia dan Akhirat, syahid pada hukum dunia dan syahid pada hukum Akhirat.

Syahid dunia dan Akhirat ialah syahid dalam pertempuran menentang musuh di medan pertempuran kerana menegakkan kalimah Allah. Orang yang mati syahid sebegini tidak perlu dimandikan dan tidak perlu disolatkan menurut jumhur ulamak. Di Akhirat nanti ia akan memperolehi balasan istimewa dari Allah SWT. Ia juga selamat dari soal kubur.

Syahid pada hukum dunia ialah orang yang mati kerana berperang menentang orang-orang kafir tetapi telahpun mendapat gaji dari peperangan yang dilakukannya atau mendapat bahagian harta rampasan dari peperangan tersebut atau orang yang mati kerana memerangi golongan kafir dalam keadaan riya' dan lain-lain.

Syahid pada hukum Akhirat ialah seperti orang yang dibunuh secara zalim, orang yang mati kerana mengalami penyakit dalam perut, orang yang mati kerana penyakit taun, orang yang mati tenggelam, orang yang mati dalam keadaan dagang / musafir, orang yang mati dalam keadaan menuntut ilmu, orang yang mati kerana menahan rindu, mati kerana melahirkan anak dan sebagainya. Di dunia orang ini dikafan dan disolatkan. Di Akhirat ia akan mendapat pahala khusus dari Allah.

sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
25. Masalah Murtad dan Penyelesaiannya

Soalan:
Apakah jalan penyelesaiannya bagi masalah murtad di kalangan umat Islam hari ini dengan hukum Islam dan undang-undang negara. Berikan penerangan dengan lebih jelas serta contoh-contoh sesuai?

Yussairi, KL

Jawapan:
Masalah murtad merupakan isu yang amat sensitif menyentuh perasaan umat Islam. Untuk mengelakkan murtad, Allah SWT tidak memaksa manusia memeluk agama murni ini kecuali dengan kerelaan hati mereka. Ini sebagaimana firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 256 yang bermaksud: "...sesungguhnya tiada paksaan dalam beragama ( memeluk agama Islam ) ". Tetapi apabila mereka memeluk agama Islam maka mereka tertakluk di bawah peraturan-peraturanya dan mereka tidak boleh sama sekali keluar dari Islam. Jika mereka keluar dari Islam maka hukumnya adalah qisas atau dibunuh sebagaimana hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim yang bermaksud: " Tidak dihalalkan darah saudaramu yang mengucap dua kalimah syahadat kecuali salah satu dari tiga perkara... antaranya..orang yang meninggalkan agamanya keluar dari pegangannya "

Suasana umat Islam pada hari ini amat gawat kerana kekurangan didikan agama. Kebanyakan dari mereka menganut agama Islam kerana keturunan dan ini tentu akan menyulitkan keadaan apabila hukuman secara Islam ingin dijalankan terhadap orang yang murtad. Memang benar hukum Islam telah menetapkan agar orang murtad dibunuh namun untuk melaksanakannya memerlukan hikmah. Secara ringkasnya, jika pemerintah boleh mengambil tindakan bunuh ke atas orang murtad maka ia wajib dijalankan jika tidak ia berdosa kerana mengingkari hukum Allah.

Jika tidak boleh kerana kemaslahatan tertentu maka ia boleh mengambil tindakan takzir. Ini berpandukan kepada kaedah haram mencegah kemungkaran jika timbul kemungkaran yang lebih buruk.

Contoh kemaslahatan yang dijalankan pada zaman Saidina Umar Ibnu Al-Khattab, dimana beliau meminta agar orang yang murtad dipenjara terlebih dahulu dan diminta untuk bertaubat sebanyak tiga kali jika ia masih enggan barulah ia dibunuh walaupun hukum asal tidak mensyaratkannya. Ini dibuat agar orang ramai tidak takut dengan Islam dan dapat merasai keadilannya. Jika begitu, pada pandangan saya dalam keadaan suasana Islam hari ini, kita perlu lebih berhati-hati dan hikmah ketika menjalankan tindakan yang terlalu sensitif.


26. Adam Manusia Pertama di Bumi?

Soalan:
Kita semua percaya bahawa Nabi Allah Adam adalah makhluk yang pertama (di bumi) yang dicipta oleh Allah 'Aza Wajalla. Adakah benar apa yang di perkatakan oleh saintis-saintis barat bahawa Dinasour telah lama wujud, sejak berjuta-juta tahun dahulu?

Jamalis,KL
sila lawat http://speakerpecah.blogspot.com
Jawapan:
Nabi Adam as. bukan makhluk pertama di bumi tetapi merupakan manusia pertama di bumi, kerana sebelum nabi Adam as. di turunkan ke bumi, Allah SWT telah menciptakan bumi ini dengan segala makhluk yang ada didalamnya. Di dalam Al Quran ada diterangkan tentang dialog malaikat dengan Allah tentang rencana Allah ingin menciptakan khalifah di bumi. Dari dialog tersebut membuktikan bahawa Allah telah menciptakan bumi dengan segala isinya, tinggal lagi ingin menciptakan khalifah yang ingin mentakbirnya.Firman Allah SWT maksudnya: "Dan ingatlah kepada Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata): Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami senantiasa bertasbih dengan memuji-Mu dan mensucikan Mu? Tuhan berfirman: Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengatahuinya".

(Surah Al Baqarah ayat 30) Memang sebelum wujudnya manusia (Adam) telah hidup makhlu-makhluk lain (seperti dinasour) dan sebagainya kerana dalam sebuah ayat, Allah telah mengajarkan kepada nabi Adam tentang makhluk-makhluk yang ada di dalam syurga dan perkara-perkara lain yang bersifat maya.Firman Allah SWT maksudnya: "Dan Allah telah mengajarkan nabi Adam, akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Allah berfirman: ' Terangkanlah kepada Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar '.
Malaikat itu menjawab : ' Maha Suci Engkau ya Allah, kami tidak mempunyai pengetahuan selain apa Engkau ajarkan kepada kami; sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana '.
Allah berfirman: ' Wahai Adam, terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka. Maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka '.
Allah berfirman: ' Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa yang kamu nyatakan dan apa yang kamu sembunyikan'."
(Al Baqarah 31 - 33)


27. Petanda Ganjil ketika Pengebumian Mayat

Soalan:
Adakah sebarang petanda tentang apa yang berlaku semasa kerja menggali lubang kubur, iaitu berkaitan dengan keadaan si mati ketika hidupnya. Jika ada, bolehkah diberikan apakah petanda bagi keadaan lubang kubur yang berair dan berbatu walaupun diketahui tempat tersebut memang berair ataupun berbatu? Satu lagi, apakah petanda bagi keadaan kubur yang berbusut?

Azman, K Kinabalu

Jawapan:
Memang banyak kita mendengar daripada cerita-cerita seseorang di tengah masyarakat ataupun memang kita melihat sendiri tentang peristiwa-peristiwa ganjil ketika mayat dikebumikan. Kadangkala kita mendengar kubur si mayat dipenuhi air padahal bukan musim hujan atau kawasan tersebut biasa kering dan berbagai cerita yang lain. Mungkin peristiwa-peristiwa seperti ini hanya bersifat kebetulan semata disebabkan faktor iklim dan tanah.

Namun kadangkala peristiwa tersebut dihubungkaitkan dengan si mayat oleh orang yang melihatnya. Jika kita tidak berhati-hati dikhuatirkan akan menimbulkan fitnah sehingga orang yang menyebut-nyebut perkara itu menanggung dosa. Mungkin juga peristiwa tersebut sebagai iktibar yang ditunjukkan oleh Allah bagi orang yang hidup, dan tidaklah boleh membesar-besarkannya.

Begitu juga dengan tanda-tanda yang lain seperti kubur berbusut, kubur berlubang (jerlus) dan sebagainya, janganlah ditafsir dengan perkara yang mengandungi khurafat sehingga merosakkan iman kita.


28. Pengertian 'Al-Quran Imamku, Baitullah Kiblatku'

Soalan:
Dalam bacaan talkin ada menyebutkan yang Al-Quran imamku, Baitullah kiblatku. Soalan saya apakah maksud ayat tersebut?

Azman, K Kinabalu

Jawapan:
Makna "Al Quran imamku" ertinya bahawa Al Quran yang penuh dengan bimbingan kehidupan yang merupakan panduan hidup bagi umat seluruh alam, serta tidak mengambil ketetapan hukum dan panduan hidup melainkan dengan berpandukan Al Quran.

Sedangkan makna "Baitullah kiblatku" ertinya bahawa Baitullah yang merupakan rumah Allah, adalah tempat ibadah yang mulia dan suci. Walau apapun bangsa kita, tanah kelahiran kita mahupun di mana kita berada, di waktu solat kita tetap akan menuju arah yang satu, ke Baitullah. Ini menunjukkan kesatuan hati ummah seluruh alam, dan apabila hati kita disatukan maka Islam akan teguh.


29. Beriman setelah Murtad

Soalan:
Apakah hukum orang yang murtad setelah ia kembali masuk Islam. Bagaimana pandangan Ustaz dari sisi Islam?

Zakshah, Gombak

Jawapan:
Jika seseorang itu telah melakukan murtad iaitu keluar dari Islam, kemudian ia merasa bahawa dirinya telah melakukan kesalahan yang besar, akhirnya ia bertaubat kembali kepada Allah dengan memeluk Islam, maka hendaklah umat Islam menerimanya kembali, kerana ia telah menemui jalan yang benar setelah sesat.

Dalam Islam sendiri menganjurkan agar orang yang murtad itu segera bertaubat dan mengucap dua kalimah syahadah, jika ia tetap dalam kemurtadannya maka pujuklah ia agar kembali ke dalam Islam. Jika setelah dinasihati, dipujuk dan diberi nasihat tidak memberikan perubahan pendiriannya, maka penjarakanlah ia, jika setelah dipenjara dan diberi makanan yang enak-enak serta dinasihati kembali, namun masih tetap merasa senang dengan kemurtadannya, maka ketika itu boleh dilaksanakan hukum bunuh terhadapnya.


30. Akidah Dalam Kehidupan Insan

Soalan:
Boleh tak saya tahu kepentingan akidah di dalam kehidupan dan kesan syahadah kepadan umat muslim? Diharap tuan dapat memberikan saya senarai terperinci mengenai hal yang tersebut diatas ataupun berikan senarai buku yang membolehkan saya untuk mendapatkannya berserta harga buku tersebut.

Dayang Saibillah , K Kinabalu

Jawapan:
Akidah atau keyakinan atau iman kepada Allah merupakan asas dalam kehidupan insan. Jika keimanan ini tidak wujud dalam diri seseorang maka tidak ada nilai seseorang itu hidup di dalam dunia ini. Kerana pembahasan iman dan syahadah ini terlalu luas maka kami anjurkan kepada anda untuk membaca buku berkaitan tentang akidah atau keimanan ini. - Darulnuman

1 komen:

  1. saya telah terjerumus dalam murtad berkali kali......saya takut tiada lagi harapan.....saya tidak pernah mencaci allah, rasulullah saw,islam dan menghasut.....saya tergelincir sebabkan hasutan atau gangguan lintasan hati yang melampau yang selalu bermain di fikiran.....ini membutkan iman saya lemah...saya cuba lawan tapi gagal....saya tidak pernah mahu keluar islam tetapi syaitan menakut nakutkan saya dengan kononnya ada tuhan lain,saya telah salah pilih agama dan lain lain sehinggakan tergelincir beberapa kali.....paling teruk pun apabila saya dicabar perasaan saya untuk membuktikan tauhid saya terhadap allah dengan mencaci tuhan agama lain yang tidak wujud sehinnga saya terasa takut jikalau kononnya memang tuhan lain wujud dan saya menarik balik perkataan saya....cuma itu saja yang paling teruk dan saya tidak pernah sembah selain allah swt dan tidak pernah menentang hukum hakamnya.... ....saya menyesal dan mahu bertaubat sungguh sungguh.....saya ada terbaca blog bahawa tiada taubat bagi murtad kali kedua......adakah masih boleh terlepas dari neraka yang kekal???saya redha walau dihukum bunuh sekalipun......

    ReplyDelete

Powered by Blogger.